GUILIN - PART 1 : CEBISAN SYURGA DI DUNIA

Bahagian I

Kweilin, kota permata negara China

Pemandangan sepanjang menyelusuri Sungai Li

Sebenarnya #kembara ke #Guilin, China ini telah dirancang hampir setahun yang lalu. Bermula dengan cadangan untuk ke destinasi yang lain tetapi akhirnya memilih ke sini.

Secara jujur, saya mempunyai ilmu yang cetek berkenaan kota ini. Kalau sebut Guangzhou, sudah pasti terbayang-bayang kawasan membeli belah. Begitu juga kalau sebut Beijing, hamparan tembok besar negara China sudah melekat dalam minda.

Guilin, saya tiada idea sehinggalah saya membuat beberapa kajian mengenai tempat ini. Ternyata destinasi ini merupakan tempat yang 'breathtaking'. Sesuai untuk melepaskan lelah setelah penat bekerja atau ber 'honeymoon'.

Saya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Guilin Liangjiang tepat pada masa yang tertera padai 'travel itinerary' #AirAsia yang saya terima.

Perjalanan dengan kapal terbang tambah murah itu sangat selesa walaupun terpaksa berlari-lari anak menuju ke pintu perlepasan.

Perjalanan mengambil masa lebih kurang 3 jam 50 minit. Ah, sempat untuk melelapkan mata. #AirAsia telah menyediakan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Guilin dengan harga yang berpatutan.

Ketibaan saya disapa oleh angin sejuk Guilin dan disambut oleh hujan gerimis dan kadangkala renyai. Sejuknya bukan kepalang. Seusai keluar dari bangunan lapangan terbang, saya terus menyarung baju tebal yang dibawa. Ternyata sejuk hingga ke tulang. Ditambah lagi kelembapan disebabkan hujan.

Dalam perjalanan dari lapangan terbang ke restoren untuk makan tengahari. Hujan renyai di sepanjang jalan

Berlari-lari anak saya menuju ke parkir bas. Perjalanan kali ini disertai oleh 25 peserta. Cepat-cepat saya membantu yang lain memasukkan beg-beg mereka ke dalam perut bas. Lebih cepat lebih bagus kerana jari jemari semakin kebas akibat terlalu lama terdedah.

Selesai sahaja menyumbat semua beg, saya berlari naik ke atas bas untuk mendapatkan sedikit haba. Huh. Panas sejuk badan saya tika itu. Mungkin badan baru hendak menyesuaikan dengan keadaan. Dalam hati berkata, janganlah demam atau pening. Sudah pasti akan merencatkan keseronokan kembara kali ini.

Perjalanan ini mengambil masa lebih kurang 1 jam ke bandar Guilin. Bergantung kepada keadaan lalulintas. Sempat juga saya memerhati kiri dan kanan jalan. Mata tertangkap dengan keindahan bentuk muka bumi kota ini. Setiap gambar yang dirakam pasti akan berlatarbelakangkan bukit-bukit. Ya Allah, sangat cantik!

Kata Tour Guide lokal disini, yang mahir sedikit berbahasa Melayu, 60% daripada masyarakat disini adalah pemain industri pelancongan.

Di Guilin sahaja, rakyatnya mencecah hampir 5 juta orang. Bayangkan lebih daripada 2.5 juta rakyatnya menjana pendapatan melalui pelancongan.

Tambah beliau lagi, kebanyakan pelancong adalah terdiri daripada rakyat negara China itu sendiri, iaitu hampir 90%. Selebihnya adalah pelancong dari luar negara termasuk Malaysia.

Kini, lebih ramai pelancong Malaysia datang melancong ke Guilin. Dan sempat juga saya terserempak dan menyapa dengan beberapa kumpulan pelancong dari Kuala Lumpur.

Ini fakta yang paling menarik! Jika kita #kembara ke sini dalam satu garis lurus dari Kuala Lumpur, perjalanannya hanya 2600km. Lebih dekat jika kita kembara dari Guilin ke utara negara China. Menarik bukan?

Satu lagi fakta menarik adalah berkenaan dengan bentuk muka buminya. 30 juta tahun yang lalu, penurunan air laut dan hakisan air telah membentuk bukit-bukau disini. Dan hampir semua bukit bukau ini adalah batu kapur.

Bukit-bukau ini sangat unik dan berbentuk seperti kon dan didalamnya terdapat gua-gua yang ada stalagmit pelbagai bentuk.

Bayangkan 10 hingga 30 tahun akan datang, pasti bentuk muka bumi disini akan berubah dan suasananya juga akan ikut berubah.

Orang asal disini dipanggil orang gunung. Orang ini lah yang menduduki kawasan bukit, kaki bukit dan tepi tasik. Suku kaum asli yang dipanggil Miao ini berkulit sawo matang dan mempunyai raut wajah seperti orang Melayu.

Bangunan-bangunan perniagaan di Bandar Guilin


Swafoto berlatarbelakangkan bangunan di tengah bandar Guilin


Bentuk muka bumi Guilin adalah berbukit-bukau

...Tamat Bahagian I...



1 comment:

  1. AJOQQ menyediakan permainan poker,domino, bandarq, bandarpoker, aduq, sakong dan capsa :)
    ayo segera bergabung bersama kami dan menangkan uang setiap harinya :)
    AJOQQ juga menyediakan bonus rollingan sebanyak 0.3% dan bonus referal sebanyak 20% :)

    ReplyDelete