UJIAN ALLAH SWT BUAT INSAN KERDIL: AKU POSITIF COVID-19 DI SAAT HAMIL 37 MINGGU

sumber: CGTN

Assalamualaikum semua...

Aku sebenarnya malas nak kongsi cerita pengalaman yang satu ini. Nak taip tajuk pun rasa seram sejuk. Bukan apa, trauma masih belum hilang lagi. Perit, lebam dan seksanya di cucuk jarum kiri dan kanan tangan masih terasa.

Seminggu juga aku kumpul kekuatan untuk kembali sihat. Bukan badan-badan sahaja yang sakit tapi mental juga 'down'. Kalau badan sakit, boleh disapu minyak dan di urut. Tapi kalau bermain dengan perasaan dan fikiran, tak kena cara boleh kacau rutin harian. Semua serba tak kena. Nak lawan bukan mudah. Perlukan intervensi dan tolak ansur yang baik dengan otak.

KONTAK RAPAT COVID-19

Di takdirkan suami aku positif COVID-19 pada Rabu pagi, 9 Februari 2022. Tapi sebelah malam 8 Februari tu En Suami dah mengadu badan penat dan pening. Pagi Rabu terus buat ujian kendiri sebelum bersiap ke tempat kerja. Ternyata positif. Aku dah mula rasa tak seronok. Tapi aku malas nak layan perasaan.

En Suami terus buat laporan di MySejahtera dan bersiap-siap ke klinik untuk buat ujian PCR. Tak sampai 3-4 jam, keputusan keluar dan keputusan adalah positif juga. Bermulalah tempoh isolasi En Suami di bilik tengah. Aku pula duduk di bilik utama kami. 


MySejahtera dah bertukar kepada kontak rapat bila En Suami dah 'update' MySejahteranya. Lepas 2 hari KKM buat panggilan pada aku. Tapi masa tu aku dah di hospital, kuarantin.

Aku dikategorikan sebagai kontak rapat. Masih belum bergejala dan sihat seperti biasa. Jenuh juga aku sanitasi rumah. Sediakan keperluan En Suami dalam tempoh kuarantin. Dengan makanan dan ubat-ubatannya. Aku risau sebab En Suami perokok. Bimbang juga membawa kepada jangkitan paru-paru. Sehari dua tengok dia ok, tidak batuk dan sesak nafas, aku lega.

UJIAN AIR LIUR NEGATIF

Aku pun ambil langkah pertama, buat juga ujian air liur, tapi negatif. Masa tu rasa lega juga. Bukan apa memikirkan baby yang dikandung. Aku menangis fikirkan nasib, sudahlah En suami positif, aku dalam keadaan sarat mengandung. Orang kata bila-bila masa boleh melahirkan. Sudahlah dalam musim COVID-19. Sedihnya...


Ujian air liur yang aku buat sebelum ke klinik. Keputusannya negatif. Tak tahu lah virus masih belum reaktif atau aku yang tak pandai buat. Hahaha..

KEPALA PENING LALAT, BACAAN DARAH TINGGI MENGEJUTKAN

Tengahari Khamis, aku dah mula rasa pening lalat. Tak ganggu kerja seharian aku. Tapi aku sensitif dengan rasa sakit pada badan. Kalau pening, mesti ada sesuatu yang 'trigger'. Bawa ke pukul 2.00 petang, badan mula rasa nak menggigil. Seram sejuk. Sempat aku baring atas katil dan lena 30 minit. Tak kebah juga. Hati dah rasa lain macam.

Terus hubungi klinik berhampiran untuk set buat ujian PCR. Pukul 4.00 petang aku ke klinik. Masa dalam perjalanan balik dari klinik ke kereta, kau rasa langkah kaki berat sangat. Padahal jarak klinik dan tempat parkir kereta tak lah jauh sangat. Tapi berpeluh-peluh macam baru lepas marathon. Masa tu sakit tekak tak ada, lelah tak ada, batuk tak ada. 

Balik rumah, rehat lagi. Dalam masa yang sama aku nafikan aku bukan mangsa COVID-19. Mungkin tadi berjalan dalam cuaca panas. Klinik beritahu yang keputusan ambil masa 2 hari sebab 'queue' di makmal panjang. Aku buntu masa tu. 

Sehinggalah masuk waktu Maghrib, pening makin kuat. Terus aku buat pemeriksaan tekanan darah tinggi. Bacaan yang dipaparkan 136/86. Orang kata tak tinggi, tapi bagi aku yang buat pemeriksaan kesihatan sepanjang hampir 8 bulan lebih kehamilan, tak pernah bacaan lebih 120.

Aku ke ruang tamu, buat sekali lagi ujian air liur, negatif juga. 

KECEMASAN HOSPITAL

Malam tu dalam pukul 8.30 malam aku ajak adik aku ke hospital. Asalnya nak minta doktor tengokkan tekanan darah tinggi aku. Sebab jururawat KK yang jaga aku dah pesan, kalau tekanan darah tinggi melebihi 140 kena cepat-cepat ke hospital. Takut tanda-tanda preklampsia.  

Sampai hospital, buat RTK dan ternyata positif. Barulah aku tahu aku juga dijangkiti virus COVID-19. Terus di bawa ke CAC dan di pantau dan  masa tu lah 2-3 orang staf hospital jalankan prosedur ke atas aku. Pegawai Perubatan beritahu yang setakat saat tu, semua ok. Cuma suhu badan tinggi sikit. Ia lah masa tu lah aku rasa badan aku demam. Aku dah tak boleh fikir. Aku diam sahaja. Hampir jam 1 pagi baru aku dihantar ke PKRC yang merawat ibu hamil yang positif COVID-19. 

Pertama kali naik ambulans. Masa tu aku sedih sangat. Sedih sebab En Suami tak ada untuk teman aku. En Suami bergelut dengan keadaannya, aku pula dengan keadaan diri aku. Aku bertambah sedih memikirkan baby dalam kandungan. Tak henti-henti aku doakan kebaikan untuknya.

masa ni status dah bertukar ke 'confirmed case'. Kalau ikut RTK yang hospital buat, aku dikategorikan sebagai CAT 2B. Tak kisahlah mana-mana pun. Janji dah dapat rawatan dan kuarantin


PKRC UNTUK IBU HAMIL

Pukul 1 lebih pagi tiba di PKRC dan dapat katil. Adik aku terus letakkan barang pada pengawal dan pulanglah dia. Aku minta dia juga ambil langkah berjaga-jaga. Sebab dia juga dah dikira sebagai kontak rapat. Sampai di PKRC aku tukar pakaian hospital dan solat Isya dan berehat. Malam tu tak boleh tidur. Air mata mengalir je. Ingat suami dekat rumah dan memang masa tu berada dalam keadaan terkejut.

DIJAGA RAPI 24/7

Keesokkannya awal pagi, jururawat kejutkan untuk buat prosedur kesihatan. Tekanan darah dan bacaan gula di ambil. Bacaan nadi dan CTG. Tiap kali tu juga jururawat tanya mengenai simptom yang dialami dan minta aku semak gerakan bayi.

mesin CTG untuk kira denyut jantung baby dan mesin ni juga boleh baca kalau ada kontraksi. Bunyi jantung baby akan kuat kedengaran dan selalunya di pasang 30 minit untuk tengok ritma 

Makan memang cukup setiap masa. Makan dengan diet yang seimbang. Setiap beberapa jam, jururawat akan datang dan pantau. Terharunya sebab jururawat semua baik-baik. Tak tinggi suara langsung. Layan aku baik sangat. Memahami yang aku dalam keadaan sakit dan emosi serta mental tengah tak stabil. 

Satu bilik dengan aku juga ada seorang yang dikuarantin dengan kandungan usia 35 minggu. Juga berjangkit daripada suami.

X-RAY DAN UBAT CAIR DARAH 

Tiga hari juga menjalani hari-hari di PKRC Ibu hamil, aku ingat tak lama lagi boleh discaj. Sebab kadar oksigen semua ok di paras yang masih mantap. Rupanya doktor pakar O&G yang datang secara berkala ke PKRC bagi tahu, aku perlu menjalani prosedur x-ray untuk tengok kalau ada jangkitan di paru-paru dan kena mula dapatkan suntikan ubat cair darah. 

Terus blur... 

Tengahari tu ambulans datang ambil dan terus ke hospital untuk buat prosedur x-ray. Sebelum bergerak, doktor dan jururawat ada terangkan mengenai prosedur ini. Serabut juga bila memikirkan kesihatan baby jika buat x-ray nanti. Sempat juga aku buat carian di Google. Bermacam-macam tanda tanya dalam fikiran. Masa tu mulut ni tak henti zikir supaya Allah selamatkan dan sihatkan bayi aku.

Aku maklum pada suami dan jam tu juga, air mata ni mengalir. Tak berbedung betul tabir mata aku. Buat malu kejiranan. Tapi peduli apa aku. Aku yang sakit, aku yang melaluinya. Orang lain tak rasa. Gituwww...

Sekejap saja proses x-ray tapi kali ni berbeza sikit. X-ray untuk ibu mengandung lain sikit. Semoga Allah lindungi anak ini.

Balik sahaja je PKRC, jururawat suntik ubat cair darah. Ubat ni bagi mengelakkan daripada pembekuan darah. Dah jadi prosedur ibu hamil yang dijangkiti COVID-19. Nak pula aku muatan dengan berat terlebih. Tambahan lagi mengandung pada usia melebihi 30 tahun. Dulu nak kahwin awal, tapi En Suami masa tu ada kekasih lain. Ah mengarut...

Perit juga bila ubat tu masuk dalam badan. Tapi sekejap je lah. Lepas tu ok dah. Ubat ni aku kena sambung cucuk selama 10 hari. Lepas tu selepas bersalin pun kena cucuk lagi. Hmmm...

Ubat cair darah yang aku perlu cucuk setiap hari. Cucuk sendiri. Tukang cucuk semestinya En Suami. Lebam-lebam badan kalau cucuk ubat ni. Adeh...

TO THE HOSPITAL WE GO

Keesokkan harinya, doktor datang bagi tahu aku kena pindah ke wad hospital. Paru-paru ada tak cantik sikit. Sikit je lah. Dah ayat doktor macam tu. Nak lawan apa lagi. 

Dekat sana doktor pakar boleh pantau 24 jam. Dekat PKRC doktor pakar datang berkala. Berkemas-kemaslah aku. Dalam hati Allah je tahu, berapa lama lagi aku kena duduk di hospital. Lemah weh... Menangis saja aku.

Sejarah hidup aku selama 31 tahun, tak pernah masuk hospital. Batuk, demam, selsema juga jarang menyinggah. Tapi kali ni, doomed... 2 tahun lebih aku berjaga-jaga untuk tidak kena COVID-19. Akhirnya, menjadi penyumbang kepada statistik negara.

Lepas ucap selamat tinggal pada kawan sebilik, aku terus naik ambulans ke hospital. Dekat je tak sampai 7 minit. Terus ke wad dan ambil katil. Masa tu yang naik ambulans ada sorang lagi yang senasib. Tapi kandungannya dah 39 minggu. Memang masuk ke hospital untuk serah diri tapi disahkan positif COVID-19 pula. Berjangkit di mana tidaklah pasti.

PROSEDUR MENYAKITKAN DI HOSPITAL

Tak ku sangka, tak ku duga, prosedur di hospital ni lah yang buat aku tak senang duduk dan tak lena tidur. Masa tu nak balik je rasa. Berkira-kira hari nak discaj. Kena cucuk kiri dan kanan, granula di kedua-dua tangan. Lagi satu di lengan kanan. Perit. Sudah lah dua granula di tangan tu dipasang masa hari mula-mula masuk ke hospital. Salur darah pun dah membengkak. Perit...

Aku minta jururawat untuk buka dan pasang yang baru. Dah beberapa hari, baru di bukanya. Itu pun masa hari aku discaj hospital. Sampai ke hari ini masih membengkak. Walaupun ada surut.

ni keadaan tangan dan lengan yang dicucuk. Granula di kedua-dua belah tangan. Lepas tu ada satu dekat lengan kanan. Sakit dan tak selesanya. Nak tidur susah, nak mandi dan salin pakaian pun seksa bila tersangkut dekat baju


CUCUK ABG YANG PALING MENYAKITKAN. ARTERIAL BLOOD GAS

Dua-dua lengan kena cucuk ABG. Kesnya nadi di sebelah kiri selalu tak beri kerjasama. Pertama kali doktor ambil ABG, selepas di rodok-rodok nadi aku, aku rasa macam nak pitam, sakitnya subhanallah. Aku minta 'take 5' pada doktor. Aku tak boleh tahan. Bagi saya baring sekejap. Rasa nak muntah, meloya semua ada. 

Belum habis layan sakit, aku hulur je tangan kanan untuk ABG. Tarik nafas dan hembus, nasib belah kanan ni beri kerjasama. Dapatlah darah yang diinginkan. Dan tinggallah aku melayan kesakitan 2x ganda. Menangis lagi. Sebab sakit dan rindu suami. Allah je tahu. Walaupun aku tahu, kalau ada suami teman pun, paling terharu dia akan duduk dan pandang je apa doktor buat. Hahaha...

Lepas kena cucuk ABG, baru aku buat carian di internet. Rupanya ABG ni antara cucuk ambil darah yang paling sakit. Susah pun ye tengok doktor nak cari urat pun 3-4 kali juga di tekan-tekan urat tu. Sebab arteri ada deria sakit. Tapi hasil ujian darah ni boleh beri doktor keadaan metabolik aku.

ABG ni aku kena 2 kali di nadi kiri dan 2 kali di nadi kanan. 2 kali di sebelah kiri, 2 kali cucuk tak menjadi. Tapi doktor yang buat ABG kali ke dua ni, ok lah sikit. Sikit je. Tapi masih sakit.

Malas dah nak fikir. Aku tak kisah yang penting, aku nak sihat cepat dan nak balik rumah. Huwaaa...

tempat cucuk ABG. Nak taip ABG pun ketar tangan


TAK LENA TIDUR, RINDUKAN KAMU

Sejak di kuarantin, aku memang tak lena tidur. Tukar tempat tidur pun ye juga. Tapi yang tak boleh terima, aku dijangkiti COVID-19 di saat aku menunggu kelahiran cahaya pertama aku. Tengah seronok 'counting days', ujian datang menyapa. 

Masa ni lah baru nak ingat Allah ketat-ketat. Barulah keluar buku yassin duduk di bawah bantal. Barulah setiap saat pasang alunan zikir. Solat tepat pada waktu, jam, minit dan saat nya. Barulah rindu serindu-rindunya pada En Suami. Kalau ada dekat rumah, masing-masing menghadap tv dan telefon je.

Padan muka. Aku insaflah. Sampai saat aku menulis ni. Aku harap aku insaf selama-lamanya. Amin... Aku harap En Suami juga insaf. Entahlah sebab dia kuarantin di rumah. 'Comfort zone'. Hahaha... Laki aku baca ni mampus aku. Maafkan isterimu ye abang.

DAH TAK INGAT HARI

Duduk hospital kalau tak reti menyembang, jadi kera sumbang. Kena rajin-rajin ringankan mulut. Beberapa hari aku di hospital, pesakit datang dan pergi. Hari dah tak kira, yang menjadi kira-kira, bila doktor datang nak masuk bilik, bagi tahu, Pn dah boleh balik ye. Huwaaa... lamberttt lagi.

Yang masuk ke wad ni datang dengan pelbagai tahap sakit tetapi semuanya di jangkiti COVID-19. Baik yang muda umurnya 14 tahun sehinggalah yang berumur 90 lebih. Ada ibu hamil yang sakit nak beranak melayan kontraksi dengan COVID-19 lagi. Ya Allah seksanyalah. Kalau aku tu tak tahu lah. 

Insaflah. Rupanya orang lain Allah swt uji lagi hebat. Hebatnya mereka-mereka yang diuji ni...

ni antara makanan yang hospital hidang. memang sedap. Alhamdulillah sepanjang tempoh di hospital, aku memang berselera betul makan. Paling aku suka, susu Anglomac. Yumss sangat


DRIP MAGNESIUM

Masa doktor bagi tahu aku mungkin boleh discaj awal, hati dah berbunga. Akhirnya... tapi tunda pula. Lepas tu doktor bagi tahu bacaan magnesium tak ok pula. Kena drip satu kali. Tunda lagi.

Drip magnesium ni pedih, tekak meloya dan lidah rasa payau je. Dalam badan panas-panas je. Aku lemah sikit bab-bab ni sebab aku 'overthinking'. Aku risau baby je. Aku akan tahan selagi aku boleh tahan. Seperti mana kerasnya hati aku ni, aku keras bertahan. Tapi keadaan baby, manalah aku boleh baca dan tahan. Aku doa je. Aku minta En Suami juga doa keadaan aku dan baby ok. Jangan doa baby je. Isteri tak doa. Hahaha... 

Tolong jangan rampas takhta saya di hati awak, En Suami. 

KEADAAN KESIHATAN = BAIK

Aku bersyukur walaupun mula-mula rasa sedih sebab kena kuarantin di hospital tapi aku di pantau sebaiknya. Keadaan baby dan diri aku sendiri. Sepanjang berada di hospital, doktor bagi tahu keadaan kesihatan aku ok. Baby pun ok. Tak ada apa perlu dirisaukan. Aku puh tak ada simptom lain. 

Kontraksi pun tak ada lagi. Tiap-tiap hari juga jururawat tanya aku, ada kontraksi tak? Sakit perut tak? ada 'bloody show' atau lendir tak? Semuanya aku tak rasa lagi. Aku doa biarlah baby keluar lepas aku kuarantin. 

Hari-hari doa. Cakap dan pujuk baby. Kalau dia boleh tunggu sampai keadaan dah okay. Ye lah kalau tak bersalin di wad COVID-19, dah tentu-tentu baby akan diasingkan saat lepas dilahirkan. Sudahlah En Suami pun kuarantin, siapa yang akan uruskan nanti. Aku rasa macam hilang tempat bergantung. Habis daya dah.

Alhamdulillah syukur sangat, baby sangat memahami. My baby is amazing! Like mother like son/daughter. Bagi mak lah dapat kredit pula. Hehehe...

INGATKAN PANAS SAMPAI KE PETANG RUPANYA HUJAN DI TENGAHARI

Dalam kegembiraan aku menunggu saat-saat nak discaj, boleh pula seorang doktor ni datang bagi tahu aku mungkin perlu teruskan kuarantin sehingga aku bersalin. Mungkin aku akan melahirkan baby secara c-sec.

Luluh hati aku. Dunia rasa sempit. Tak bernafas. Istighfar aku masa tu... Tapi rasa macam tak puas hati. Aku kena 'stand' untuk diri sendiri. Aku memberanikan diri untuk bertanya dengan doktor. Doktor terangkan tapi macam di angin lalu. 

Termenung juga. Ye la tengok pesakit katil sebelah aku sudah selesai pembedahan c-sec anak ke-5. Melihat dengan keadaan kesakitannya, aku rasa tercabar. Boleh ke aku nak hadap semua tu. Bayi terpaksa di pantau. Lepas bersalin je tak boleh tengok baby. Terus di tolak masuk wad balik. Allahuakbar.

Aku cakap pada diri dan baby, whatever it is, we have to go this together. I will fight for my baby, likewise. Ada doktor o&g yang lain datang dan terangkan pada aku. Aku tak perlu c-sec sebab kandungan masih 38 minggu. Keadaan baby dan ibu adalah baik. Lagi pun awak anak pertama dan masih belum ada tanda untuk melahirkan. CTG pun tak menunjukkan ada kontraksi. Kalau tak ada apa-apa, awak boleh discaj dan sambung kuarantin di rumah.  

Aku rasa bahagia sangat. Masa tu juga baby duduk tendang-tendang. Gamaknya dia juga gembira.

Pertama kali pakai baju pink ni. Lepas ni pakai lagi untuk berjuang mengeluarkan seorang khalifah pula


GELANG, DISCAJ DAN KUARANTIN DI RUMAH

Doa semua dimakbulkan. Dapat juga aku pulang dan sambung kuarantin di rumah. Tapi kena pakai gelang. Isnin, 21 Februari nanti aku potong gelang.

Kuarantin di rumah sangat membahagiakan. En Suami pula dah negatif. Balik rumah macam-macam dimasaknya. Tak mengecewakan. Gamaknya dia terasa kot selama isteri tak ada dekat rumah. Sunyikan? Tahu pun...

Apa pun terima kasih En Suami atas keprihatinan dan kasih sayang yang dicurahkan. Biar Allah swt sahaja yang membalasnya.

Tapi jangan nak bahagia sangat. Kuarantin dekat rumah pun kena pantau keadaan diri. Nasib dekat rumah aku memang buka mini klinik. Ada mesin tekanan darah, gula, doppler dan oxymeter. Boleh pantau diri sendiri setiap masa. 4 kali sehari aku akan ambil bacaan dan catat. 

kesan granula yang dipasang dari hari pertama. bengkak dan sampai saat aku menaip ni masih terasa lagi sakitnya. Hari-hari aku ulas dengan minyak bagi lega


BERSALIN SEBELUM TAMAT KUARANTIN, PULANGLAH KAMU KE WAD COVID-19

Tapi aku ada kerisauan. Kalaulah baby tiba-tiba nak lahir dalam tempoh kuarantin dan tarikh aku potong gelang, aku kena lapor diri balik ke wad yang sama. Ahhh... 

Stres juga menjalani kuarantin dalam keadaan begini. Berperang selalu dengan emosi. Aku tak jemu-jemu berdoa. Beri tahu baby yang baik-baik sahaja. 

Aku kalau boleh, biarlah dapat bersalin seperti biasa. Suami dapat teman di bilik LR. Sekurang-kurangnya lengkap momen indah kami menyambut kelahiran #bellaleejr. In shaa allah. Sampai saat ni aku masih berdoa dan berperang dengan emosi. Moga Allah kabulkan. Moga baby memahami.

TIPS MELAWAN COVID-19

Aku bukanlah orang yang tepat untuk beri tips melawan COVID-19 tapi aku rasa aku perlu kongsi. 

Pertamanya, dapatkanlah suntikan vaksinasi. Dapatkanlah suntikan yang diarahkan. Walaupun aku belum ambil dos penggalak, tapi vaksin banyak membantu aku untuk pulih.

Keduanya, jaga pemakanan dan diet seharian. Makan makanan yang kurang garam, kurang manis dan kurang minyak. Garam yang tinggi boleh tingkatkan tekanan darah. Tak pasal-pasal ganggu proses pemulihan nanti

Ketiganya, kena aktif. Buat pergerakan, kalau boleh berpeluh, berpeluh lah. 

Keempat, ambil ubat yang di arahkan. Ubat kena ambil 'on time'. 

Kelima, pantau kesihatan seharian. Laporkan pihak kesihatan kalau ada simptom yang abnormal. Ni penting bagi pesakit yang ada penyakit lain atau yang mengandung.

Keenam, 

Yang penting, redha. Ni sebenarnya no 1. Hahaha...

Akhirnya, jaga emosi. Jangan stres. Yang di orang luar pun kena main peranan. Pasangan, keluarga, rakan-rakan, rakan sekerja dan semuanya. 

Nak pulihkan badan dari COVID-19 mungkin nampak mudah, tapi nak pulihkan emosi tu sangat susah. 

Sama-sama doakan kita dapat harungi kesan 'long COVID-19'. Dah kena hidup sihat dah. Jaga daripada sekarang. Sebab COVID-19 tak tahu apa lagi dia akan mutasi dan berapa kuat lagi dia boleh pergi.

Wallahualam...Selesai... 

0 Comments:

Post a Comment