PENGALAMAN BERHIJRAH KE LUAR NEGARA, BANYAK PAHIT DARIPADA MANIS?

Aku semasa pertama kali menjejakkan kaki di Old Trafford, Manchester

Sejak penularan wabak Covid-19, ramai yang mengeluh. Mana tidaknya ramai yang kehilangan pekerjaan dan pendapatan bulanan. Ada yang dipotong gaji dan ada yang diminta cuti tanpa gaji. Pahitnya hanya orang yang mengalami situasi tersebut saja tahu bagaimana rasanya. Dunia seakan kelam dan gelap. Masa depan juga dirasakan tidak menjamin kehidupan.

Ada yang ambil keputusan untuk menjual segala aset dan pulang ke kampung. Membuat modal perniagaan atau menjalani kehidupan baru di kampung. Ada yang terpaksa menggadai harta benda untuk menampung kehidupan di bandar. Jika dulu ada dua biji kereta, mungkin sekarang tinggal satu. Jika dulu menyewa di rumah 2 tingkat, sekarang berpindah ke kediaman yang lebih murah sewa bulanannya. Belum cerita yang mempunyai pinjaman perumahan lagi. Ye lah hidup di kota raya bukan senang. Semuanya memerlukan wang. 

Tapi dalam banyak-banyak keadaan, satu yang aku terpanggil untuk memberikan komen. Ada seorang makhluk Allah ini membuat status di Facebook, 

"Aku rasa nak berhijrah ke luar negara lah. Berhijrah ke negara yang lebih stabil dan matawang lebih besar. Untung-untung aku dapat langsaikan segala pinjaman yang ada"

Aku rahsiakan status ini daripada penglihatan kalian kerana status ini mendapat balasan komen yang agak banyak daripada netizen. Ada yang bersetuju dan ada yang memaki. Bagi aku yang ada pengalaman berhijrah ke luar negara, aku terpanggil untuk kongsi pengalaman aku. Maka, jadilah entri ini di blog. 

Pengalaman berhijrah ke luar negara, banyak pahit daripada manis? Betul ke?

Rasa seram sejuk pula nak mula menulis. Kisah aku ini mungkin biasa-biasa bagi kebanyakan orang. Tapi bagi aku, kisah ini adalah sebahagian daripada hidup aku yang akan aku kenang hingga ke anak cucu dan sehingga hujung nyawa. Orang lain mungkin jalan ceritanya lebih menarik dan panjang. Bagi aku, kehidupan indah seseorang itu perlu dikongsi untuk memberi inspirasi kepada generasi baru. Tapi bukan sesekali untuk riak. Janganlah kalian pula membanding-bandingkan kehidupan aku dengan yang lain. 

Bournemouth, United Kingdom

Bournemouth, itu lah tempat aku berkelana. Walaupun dalam tempoh yang singkat, banyak membuka mata dan menyimpan kenangan terindah dalam hidup seorang Naabila. Betul ke pengalaman berhijrah ke luar negara banyak pahit daripada manis? 

Aku faham kalau kalian tidak berminat dengan cerita aku sekarang. Ye lah apa kejadahnya Bournemouth. Tak pernah dengar pun. Mungkin kalian kata aku menipu dan mereka-reka cerita. 

Bournemouth, itu lah tempat pertama di United Kingdom yang aku jejak seusai tiba di lapangan terbang. Sebelum tu aku singgah di Dublin, Ireland hanya untuk tujuan transit. 

Sebelum terbang, sempat juga aku buat carian mengenai Bournemouth. Itupun hanya carian ringan. Cukup untuk aku tahu jarak universiti dengan rumah. Dan jarak lapangan terbang Bournemouth (BOH) dengan rumah. Serius aku tak pernah dengar langsung. Yang aku tahu ketika itu hanya London, Liverpool, Manchester. Itupun disebabkan oleh bola sepak. 

Selepas beberapa bulan di Bournemouth, baru aku tahu tempat ini merupakan tarikan pengunjung yang datang untuk menikmati pantainya yang indah. Bournemouth boleh dikira seperti kawasan luar bandar yang popular dalam kalangan rakyat mereka. 

Kawasan ni juga akan padat dengan pengunjung bila tiba waktu musim panas. Masing-masing tidak melepaskan peluang berkelah dan 'sun bathing' di pantai Bournemouth.

Beberapa bulan pertama, kehidupan aku betul-betul hanya sebagai seorang pelajar. Aku hanya berani untuk pergi ke universiti daripada rumah dan kedai berhampiran. Keinginan untuk meneroka itu masih tipis disebabkan oleh perasaan takut melebihi segalanya. Ye lah pertama kali di negara orang. Dah lah semuanya asing. (nada sedih)...

Hampir Putus Asa

Dalam banyak-banyak kenangan mengembara ke negara asing, aku tak pernah cerita yang aku hampir putus asa dan pulang ke Malaysia. (Pengakuan eksklusif hanya untuk pembaca blog aku). Ini bukan cerita reka-reka. Ini perjalanan hidup aku. Ketahuilah kalian bahawa pengalaman berhijrah ke luar negara, banyak pahit daripada manis. 

Rata-rata di internet menceritakan sisi indahnya berhijrah namun disebalik warna-warni kehidupan itu terselit kepayahan yang hanya pernah mengalami sahaja memahami. Bagaimana kami berjuang untuk meneruskan perjalanan hidup dalam kehidupan yang bertentangan dengan kehendak hati. Perbuatan tidak sehaluan dengan hati. Begitulah perasaan aku ketika itu.

Hidup di tempat asing, negara asing, bahasa asing, cuaca asing dan semuanya asing benar-benar menguji kekuatan jiwa dan raga. Jauh pula daripada keluarga dan norma hidup kebiasaan. Tiada lagi kenderaan sendiri, rumah sendiri, ibubapa di rumah untuk memasak, kawan-kawan lepak dan makanan sedap-sedap. Bayangkan...

Sudahlah datang membawa tanggungjawab yang  berat untuk berjaya menamatkan pelajaran dengan biasiswa oleh kerajaan, di tambah lagi dengan faktor-faktor di atas yang membuatkan aku kecut perut.

Hampir saja aku menghubungi pihak pemberi biasiswa untuk menamatkan biasiswa aku dan aku mahu pulang ke Malaysia tanpa ada sebarang perancangan langsung untuk buat apa seterusnya. 

Berkat nasihat keluarga dan rakan-rakan, aku cuba tahan. Aku menangis disebabkan ketakutan yang maha dahsyat. Mampukah aku menggapai apa yang dikehendaki oleh pemberi biasiswa? Apakah aku mengkhianati kepercayaan keluarga? Aku buntu...

Aku keseorangan tanpa keluarga dan rakan rapat ketika itu. Semua keputusan berada di dalam tangan aku. Berkat muhasabah diri selama 2 - 3 hari, aku mengambil keputusan untuk meneruskan kehidupan aku di negara ratu itu. Alhamdulillah.

Itu belum cerita pengalaman tidur di lapangan terbang, kawan aku tidak dibenarkan terbang ke Itali semasa kembara kami ke negara itu, kejadian kejar bas, kejadian menjinjing barangan rumah dari kedai ke rumah, masalah bahasa, rasisme, mencari rumah sewa, makanan halal, tidak pulang beraya, puasa yang panjang, bagasi 32kg dan banyak lagi. Aku ceritakan satu persatu nanti. Ingatkan aku. 

Bagi aku pengalaman berhijrah ke luar negara, banyak pahit daripada manis. Tapi bila dikenang semuanya nampak manis dan menggembirakan. Seolah-olah tidak percaya yang aku alami kejadian sedemikian yang menjadikan aku yang sekarang. 

Terima Kasih Bournemouth!



0 Comments:

Post a comment