GUILIN - PART V : INI BUKAN REKAAN!!!

Pemandangan ketika mula melangkah masuk melalui pintu utama masjid 

Perjalanan kembara kali ini berjalan dengan lancar walaupun ada kesulitan pada permulaan perjalanan. Alhamdulillah kalau Allah berkehendakkan ia terjadi, maka terjadilah. Kun faya kun.

Masa di Guilin adalah sama dengan masa di Malaysia. Kalau di Guilin pukul 6.00 petang maka begitu juga di Malaysia. Yang membezakan adalah suasananya. Di sini ketika musim sejuk, matahari akan cepat menghilangkan diri dan hari akan cepat gelap.

Dalam kembara kali ini dapat juga peluang menunaikan rukun islam yang ke dua itu di Masjid tertua di sini. Subhanallah rasa bertuahnya diri apabila dapat sujud di dalam masjid ini. The Chosen One. Masjid ini diberi nama Masjid Chongsan. Senibina masjid ini sangat unik.

Fasiliti disini adalah lengkap dimana terdapat ruang solat yang dibahagi dua untuk lelaki dan perempuan. Ruang solat sangat besar dan selesa serta tidak perlu berhimpit-himpit. Tempat mengambil wuduk, tempat mandi dan tandas juga disediakan di masjid ini.

Ruang dalam solat yang besar dipisahkan oleh tirai untuk membezakan ruang solat lelaki dan perempuan

Pertama kali kaki melangkah ke dalam masjid ini terpampang tiang-tiang yang dicat merah yang memegang struktur bangunan ini. Tergantung satu tulisan khat di atas pintu masuk ke ruang solat, dengan ukiran arab yang tertera perkataan ‘La ila ha illallah, muhammadar rosullullah’.

Di depan masjid ini juga diletakkan beberapa meja dan kerusi. Kebetulan pada hari saya disana, ramai juga orang memenuhi ruang ini. Ada yang menghidang makanan dan minuman, membuat origami dan ada juga yang memanaskan badan mengelilingi unggun kayu kecil sambil berbual-bual.

Timbul perasaan pelik di dalam hati kenapa rata-rata mereka memakai sesuatu diatas kepada seolah-oleh seperti kopiah. Baik lelaki mahupun perempuan, bertudung atau tidak semuanya mengenakan kopiah putih yang sama. Ah mungkin cara mereka begini. Agak janggal melihat wanita berkopiah.

Sempat saya menyelit di celah-celah mereka yang sedang memanaskan badan dan dengan tiba-tiba beberapa orang lelaki keluar membawa sesuatu bekas yang besar dan meletakkannya di hadapan pintu ruang solat. Gedeganggg!!!

Arang yang dibakar untuk memanaskan badan

Dan tidak semena-mena, beberapa orang yang berada disitu menangis teresak-esak. Ruang menjadi diam seribu bahasa.

Baru saya tahu rupanya ada kematian disini sewaktu saya di masjid itu. Alhamdulillah. Tak sangka dapat merasai pengalaman melihat bagaimana jenazah dikendalikan di sini walaupun hanya melihat beberapa proses sahaja.

Sekujur tubuh didalam keranda diletakkan di pintu masuk masjid sebelum di azankan

Saya kagum! Walaupun aneh dan janggal. TETAPI mereka tetap menjalankan tanggungjawab sebagai seorang muslim. Bukan senang lebih-lebih lagi di negara majoritinya bukan beragama Islam.

Bekas yang besar itu adalah keranda. Di dalamnya terdapat sekujur tubuh yang sedang tunggu untuk di solatkan sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

Sementara keranda itu disitu, terdapat seorang lelaki (saya rasa ustaz/orang yang mahir agama) memanggil seluruh ahli keluarga dan memberi tazkirah saya kira. Sudah pasti di dalam bahasa cina dan saya dapat tangkap sedikit perkataan yang dikeluarkan dan boleh saya rumuskan lelaki itu tadi sedang memberikan nasihat dan motivasi kepada keluarga si mati.

Setelah itu, seorang lelaki berdiri dihadapan keranda tersebut dan mengalunkan azan.

Bahu saya ditepuk, tandanya masa untuk pergi. Kesal juga dalam hati sebab tidak dapat menyaksikan proses tersebut seterusnya. Saat kaki melangkah, sempat saya sedekahkan Al Fatihah buat allahyarham.

Semoga Islam terus bersinar di negara ini. Terang benderang. Allahuakbar!

Pengalaman yang tidak dapat dijual beli. Bersyukurlah lahir di bumi Malaysia. Islamnya sederhana, cantik, sempurna sifat dan bersih. Dari kelahiran manusia sehinggalah kematian, semuanya ditatang, diuruskan dengan baik, tidak pula kurang dan tidak pula melebih-lebih.

Sila ke pautan sini untuk mendengar sendiri azan yang dilaungkan kepada jenazah.

Wallahualam.

1 comment:

  1. menangkan uang sebanyak-banyaknya hanya di AJOQQ :D
    AJOQQ menyediakan 8 permainan seru :)

    ReplyDelete